Home Pertahanan dan Keselamatan Polis tahan pasangan suami isteri jadi tokan dadah di Ipoh

Polis tahan pasangan suami isteri jadi tokan dadah di Ipoh

by Air Times News Network

Ipoh, 25 Jul – Sepasang suami isteri yang menjadi tokan dadah di negeri ini terbongkar apabila ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu serbuan di Ipoh, pada Khamis lalu.

Serbuan telah dilakukan oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada jam 4.40 petang.

Ketua Polis Perak, Komisioner Polis, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kedua-dua suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan isterinya warga Vietnam yang berumur 34 serta 38 tahun.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui 20 bungkusan plastik berwarna hijau bertulis ‘Guanyingwang’ bersama pasangan tersebut yang mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 20.7 kilogram bernilai RM2.07 juta.

“Lelaki tersebut ditahan di kawasan tempat letak kereta di sebuah pusat makanan sekitar kawasan Jalan Raja Musa Mahadi. Manakala isterinya ditahan di tepi jalan berhampiran Panorama Lapangan Perdana,

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menjumpai 10 bungkusan plastik di dalamnya disyaki dadah,

“Pihak polis turut menemui 10 lagi bungkusan yang sama dalam sebuah kenderaan di parkir pangsapuri di Ipoh,” katanya dalam sidang media di IPK Perak, pada Isnin.

Tegasnya, dadah yang dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk pasaran tempatan serta mampu dibekalkan kepada 200,000 penagih.

Tambahnya lagi, hasil saringan air kencing terhadap lelaki tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala isterinya pula negatif. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply