Home PolitikBarisan Nasional Tajuddin tak layak jadi duta, malukan negara – Exco Pemuda UMNO

Tajuddin tak layak jadi duta, malukan negara – Exco Pemuda UMNO

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak sesuai dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan disarankan supaya berehat.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin berkata, kerajaan seharusnya menarik semula pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebagai duta kerana terpalit dengan pelbagai kontroversi yang boleh merosakkan imej negara.

“Saya menghormati beliau sebagai orang lama dalam parti, tetapi tindak-tanduk dan sikap yang ditunjukkan membuktikan beliau tidak selayaknya memegang jawatan dalam MKT,

“Bahkan saya menyarankan agar beliau tidak perlu dilantik menjadi duta di Indonesia,

“Cukup-cukuplah memegang jawatan dalam parti dan juga kerajaan, berilah ruang dan peluang pemimpin lain pula untuk berkhidmat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, ramai lagi pemimpin lain atau bekas pegawai tinggi kerajaan yang lebih layak dan boleh dilantik sebagai duta Malaysia ke Indonesia.

Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin berkata, kenyataan Tajuddin yang menyelar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai tindakan tidak bijak dan memalukan dirinya sendiri.

Justeru, katanya, keputusan MKT memecat Ahli Parlimen Pasir Salak itu adalah amat tepat.

“Jangan hanya kerana ingin menjaga hati kawan-kawan, nama parti dan imej negara terpalit sekali lagi dengan kenyataan-kenyataan yang tidak matang dan memalukan.

“Sebagai pemimpin kita sudah terikat dengan amanah dan janji, bila dibuka segala minit mesyuarat hanya kerana dilucutkan jawatan, itu hakikat menunjukkan Tajuddin adalah pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah,” ujarnya.

Muhamad Muqharabbin berkata, sebagai Presiden, Ahmad Zahid telah membuktikan kredibilitinya sehingga UMNO kembali menerajui negara dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, Ogos tahun lalu.

“Beliau (Ahmad Zahid) dikenakan tindakan mahkamah setelah menjadi presiden dan pada masa itu parti UMNO ditekan sampai lumat di saat parti tiada kuasa,

“Walaupun presiden diheret ke Mahkamah tiap-tiap minggu, beliau dan barisan kepimpinannya telah berjaya (membawa parti) memenangi 7 Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Melaka dan Johor,” katanya lagi.

Justeru, Muqharabbin berkata, kini tiba masa untuk seluruh ahli parti menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) dan bukannya memecahbelahkan parti dari dalam.

“Jangan diungkit hal yang lalu, kita harus fokus untuk menghadapi PRU-15 dan bukannya menimbulkan kekalutan dalam kalangan ahli parti,” jelasnya.

Isnin lalu, Tajuddin mendedahkan rancangan UMNO kononnya menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.

Tajuddin dalam sidang medianya menjelaskan, pakatan sulit itu diketuai Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut terbabit dalam gerakan itu.

Dalam masa yang sama, Tajuddin secara terbuka mendesak Zahid melepaskan jawatan presiden parti, selain mendakwa hampir 130 ketua bahagian Umno mahu beliau berbuat demikian.

Kenyataan Tajuddin itu dibuat selepas beberapa hari dia digugurkan daripada jawatan ahli MKT UMNO oleh Ahmad Zahid.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply