KUALA LUMPUR, 29 Jun – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas ini akan dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
“Pasukan khas ini berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada Kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien serta berkesan,
“Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik COVID-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak 2 kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Turut menganggotai pasukan khas ini adalah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
“Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia,
“Langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan (focal point) untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia,” ujarnya. – airtimes.my