Home Semasa Bantuan Keluarga Malaysia: PM umum tambahan RM100 bagi keluarga, RM50 bujang

Bantuan Keluarga Malaysia: PM umum tambahan RM100 bagi keluarga, RM50 bujang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Kerajaan hari ini mengumumkan tambahan tunai sebanyak RM100 bagi kategori isi rumah dan RM50 kepada golongan bujang yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran tambahan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini.

Jelasnya, pertambahan bantuan itu melibatkan peruntukan RM630 juta.

“Hari ini saya ingin mengumumkan BKM tambahan. Seperti kita tahu BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022,

“Ia bagi manfaat golongan B40, setakat ini seramai 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun 2022,” jelasnya dalam Sidang Media Khas pada Rabu.

Ismail Sabri menjelaskan, setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.74 bilion bagi BKM Fasa 2.

“Kerajaan mengambil keputusan menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk bujang,

“Bayaran fasa dua BKM melibatkan peruntukan RM1.74 billion dan setiap penerima BKM menerima RM400. Setiap penerima dengan bantuan tambahan ini, bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan masing-masing,

“Bayaran bantuan tunai dibayar bersekali fasa 2 BKM, melibatkan peruntukan RM630 juta. Bantuan ini akan dimasukkan ke dalam BKM, maknanya kalau dulu mereka terima RM400, apabila kita masukkan RM100 mereka akan terima RM500,” ujarnya.

Jelasnya, bayaran tambahan itu akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas, bujang dan tiada pasangan serta 3.4 juta individu bujang. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply