Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PN tidak halang PAS teruskan kerjasama dengan UMNO – Muhyiddin

PN tidak halang PAS teruskan kerjasama dengan UMNO – Muhyiddin

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 17 Mei – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak akan menghalang usaha PAS untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, usaha dan strategi yang dilakukan PAS itu sememangnya berpegang kepada prinsip penyatuan ummah.

“Pada dasar kita tidak ada nak halang mana-mana parti baik dalam PN untuk mengambil apa-apa langkah. Pasal dia berpegang pada prinsip penyatuan ummah,

“Kalau lihat sejarah pun, kita nak menyertai Muafakat Nasional (MN) dulu tapi kita ditolak. Tak diterima walaupun sudah dijawab secara rasmi. Jadi ini usaha yang PAS hendak ambil secara usaha mereka. Sama ada itu akan berhasil wallahualam. Saya tak dapat pastikan,

“Daripada kenyataan-kenyataan pihak UMNO termasuk presidennya terkini menyatakan bahawa sudah sampai masa tidak ada lagi MN,” katanya pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MKN), hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihaknya masih belum tahu apa strategi PAS sebenarnya adakah mahu meneruskan MN atau sebaliknya.

“Tetapi tak apa, kita tak halang, kita hormati akan sampai tahap nanti dapat keputusan muktamad,

“Tetapi dari sudut kita masih dalam PN dan PAS dalam pertemuan saya pada hari raya baru-baru ini dengan Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan Setiausaha Agung (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) katanya, PAS tetap istiqamah dalam PN,

“Tapi apa PAS nak buat, apa usaha kita tak apalah. Akhirnya kita akan duduk semeja, bincang apa yang terbaik untuk PN dan lebih penting apa yang baik untuk negara. Itu saya fikir kita perlu berikan perhatian,” jelasnya.

Muhyiddin berkata demikian bagi menjawab kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa parti itu akan terus mempertahankan hubungan dengan UMNO menerusi kerjasama dalam MN. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply