KUALA LUMPUR, 17 Mei – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menunjukkan bukti tentang identitinya yang mempertikaikan status sebagai orang Melayu.
Dr Mahathir turut menjelaskan, kini beliau sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang kerana pembohongan Ahmad Zahid yang memfitnahnya.
“Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu,
“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Ahli Parlimen Langkawai itu menegaskan, tindakan saman yang diambil oleh Ahmad Zahid terhadap dirinya hanya usaha untuk menutup penipuannya menerusi proses mahkamah.
Menurutnya, beliau bosan dengan sikap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dan menegaskan, Zahid Hamidi sebagai seorang penipu.
“Orang putih kata “compulsive liar”, pembohong tegar. Dulu semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dia (Zahid) keluar kenyataan kononnya kad pengenalan saya yang asal menamakan saya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty,
“Dia dakwa bahawa IC biru saya dengan nama tersebut dihantar kepadanya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara,
“Dakwaan ini dibuat Zahid kerana hendak tuduh bahawa saya berketurunan India dan telah mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri,” tegasnya.
Sehubungan itu Dr Mahathir berkata, beliau menunggu apakah Ahmad Zahid akan keluarkan bukti pada khalayak ramai, namun sehingga PRU berakhir ia tidak berlaku.
“Dia nak burukkan saya sedemikian untuk mempamer kepada umum yang saya menipu mengenai status bangsa saya,
“Dengan itu dia mahu pertikai kelayakan saya pimpin UMNO, parti-parti Melayu yang lain dan seterusnya orang Melayu keseluruhannya,
“Kononnya saya ‘anak lelaki’ dan bukan ‘bin’, jadi saya ini bukan Melayu,” jelas Tun Mahathir.
Tambahnya, beliau mengakui memang mempunyai darah keturunan India dan ia telah dinyatakan dalam bukunya.
Namun tegasnya, hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalannya adalah Mahathir bin Mohamad.
Sehubungan itu menurutnya, mengikut takrifan perlembagaan Malaysia (Perkara 160) beliau Melayu dan perjuangannya saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa.
“Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum Merdeka dan kami semua beragama Islam. Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,
“Sebelum ini saya tidak gemar mengguna mahkamah walau ramai memfitnah saya kerana saya sedar dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had,
“Tetapi kali ini saya merasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja,
“Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong Umno dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat berbahaya,” tambahnya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir berhubung isu mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes yang dihadapinya di mahkamah.
Berdasarkan pernyataan tuntutan mahkamah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pada 19 Oktober 2018, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 12 pertuduhan pecah amanah, 8 rasuah dan 27 pengubahan wang haram serta kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, pada 23 Februari lalu, Dr Mahathir dalam satu sidang media, mendakwa didatangi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang ingin meminta bantuan untuk membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah.
Tun Mahathir dilaporkan mendakwa pernah mendengar bahawa Ahmad Zahdi juga cuba untuk menghapuskan tindakan terhadapnya melalui mahkamah. -airtimes.my