Home Pertahanan dan Keselamatan 2 warga Thailand ditahan cuba seludup keluar minyak masak, daun ketum

2 warga Thailand ditahan cuba seludup keluar minyak masak, daun ketum

by Air Times News Network

KUALA PERLIS, 17 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan seludup keluar 780 kilogram (kg) daun ketum dan 150 paket minyak masak bersubsidi ke Thailand, Ahad lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya berjaya menahan 2 lelaki warganegara Thailand hasil kerjasama maklumat Unit Risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan dipantau Unit Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita terus atur gerak bot ronda pasukan operasi ke lokasi sejurus mendapat maklumat sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dikesan sedang bergerak keluar dari Kuala Sanglang menuju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand dalam keadaan bergelap dan mencurigakan,

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, 2 suspek dalam bot itu terus memecut laju dalam usaha meloloskan diri dengan menuju ke daratan berhampiran, namun bot ronda kita berjaya memintas mereka dan menahan bot itu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Menurut Mohd Hashim, tekong bot bertindak terjun dan berenang ke daratan berhampiran, namun rakannya yang berusia 40 tahun gagal meloloskan diri serta berjaya ditahan sebelum pemeriksaan ke atas bot tersebut menemui 78 bungkusan plastik hitam seberat 780kg disyaki daun ketum bernilai RM140,400.

Tambahnya lagi, turut dijumpai sebanyak 150 paket minyak masak bersubsidi dengan berat 150kg bernilai RM1,200 yang dipercayai cuba diseludup keluar ke Thailand menggunakan laluan laut.

Beliau menjelaskan, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot fiber berserta enjin sangkut bergalah dianggarkan sekitar RM161,600.

Dalam kejadian berasingan, hampir satu jam kemudian, APMM turut berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 140 bungkusan plastik hitam yang disyaki mengandungi daun ketum pada jarak satu batu nautika barat pantai Sungai Padang, Kuala Perlis.

“Rampasan dilakukan pada jam 11.59 malam susulan maklumat risikan, intipan dan pemantauan berterusan anggota yang mengesan seorang suspek mengemudi bot dalam keadaan mencurigakan keluar dari muara Sungai Kerpan ke arah sempadan perairan Malaysia-Thailand,

“Suspek terus memecut laju ke sempadan perairan Thailand sebaik menyedari diekori bot anggota kita, namun berjaya dipintas dan ditahan serta pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemui 140 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum, anggaran berat 1.4 tan bernilai RM252,000,

“Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan lelaki Thailand berusia 26 tahun dan nilai keseluruhan rampasan kedua ini, termasuk bot fiber berserta enjin sangkut dianggarkan sekitar RM272,000,” katanya lagi.

Menurutnya, kesemua suspek serta rampasan dalam 2 serbuan tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!