Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 5 PATI Indonesia ditahan cuba masuk ke Malaysia ketika sambutan Aidilfitri

5 PATI Indonesia ditahan cuba masuk ke Malaysia ketika sambutan Aidilfitri

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 4 Mei – Seramai 5 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru mendarat di perairan negara dicekup oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) ketika bersembunyi di dalam semak di sekitar hutan Tanjung Ayam, semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) berkata, penahanan PATI tersebut adalah hasil anggota Operasi Benteng (Op Benteng) yang mengesan pendaratan PATI di kawasan tersebut pada jam 2.25 pagi.

“Pada jam 3.30 pagi, Tim rondaan telah mempergiatkan rondaan ke sekitar lokasi kejadian dan seterusnya berjaya menahan serta membuat penangkapan ke atas 4 PATI yang sedang berselindung di dalam semak,

“Pasukan seterusnya telah mempergiatkan pencarian ke atas saki baki PATI dengan mengaturgerakkan dron di sekitar kawasan hutan Tanjung Ayam dan pasukan berjaya menahan seorang lagi PATI,” jelas Markas 3 Div dalam kenyataan pada hari ini.

Menurut kenyataan itu, kesemua 5 PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk proses pemeriksaan dan dokumentasi.

Jelasnya, 5 PATI tersebut terdiri daripada 3 lelaki dan 2 orang wanita merupakan warga Indonesia berusia sekitar 18 hingga 52 tahun.

“Mereka telah dibuat saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit pada 4 Mei 2022 jam 10.00 pagi dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI negatif COVID-19,

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan kesemua PATI telah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor Bahru,” tambah kenyataan itu.

Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,662.70 melibatkan matawang Malaysia bernilai RM57.00, matawang Indonesia IDR 949,800 (RM285.70) dan 4 buah telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM1,320.00.

Markas 3 Div turut menjelaskan, pasukannya meneruskan atur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply