KEMAMAN, 4 Mei – Tindakan 2 buah bot nelayan asing menceroboh perairan negara ketika umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri gagal, apabila ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, pada Isnin.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot nelayan asing Vietnam dengan nombor pendaftaran BD 31207 TS dan BD 31188 TS ditahan pada hari Isnin, 2 Mei sekitar jam 2.30 petang hingga 3.00 petang di kedudukan 66 batu nautika dari Kuala Kemaman.
Beliau berkata, kedua-dua bot tersebut telah ditahan semasa rondaan bersepadu Operasi Pagar Laut, Operasi Kuda Laut dan Operasi Iman.
“2 bot tersebut dikendalikan 12 kru termasuk tekong dipercayai warga Vietnam berusia 18 hingga 56 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta tiada permit menangkap ikan di perairan negara,
“Turut dirampas pelbagai jenis hasil laut seberat hampir 200 kilogram dan bekalan diesel lebih kurang 200 liter serta peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM2 juta,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Rashidilhadi, kesemua bot serta kru ditahan dan dibawa masuk ke Jeti Zon APMM Kemaman.
“Semua yang ditahan menjalani saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut,
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.
Tambahnya, APMM akan sentiasa dalam keadaan bersedia dan melaksanakan rondaan seperti biasa meskipun ketika musim perayaan.
“Operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti,
“APMM juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing,” tegasnya. -airtimes.my