Home Semasa Kes Maria Chin: Jangan jadikan penghinaan, fitnah terhadap Mahkamah Syariah satu norma baharu – PEMBELA

Kes Maria Chin: Jangan jadikan penghinaan, fitnah terhadap Mahkamah Syariah satu norma baharu – PEMBELA

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Apr – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan segala bentuk penghinaan dan fitnah terhadap Mahkamah Syariah yang menjatuhkan kredibiliti serta menghakis kepercayaan rakyat adalah suatu ancaman terhadap kedaulatan Agama Islam.

Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya turut menegaskan, ia sekali gus menjadi satu tindakan penderhakaan terhadap Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama di peringkat negeri serta Persekutuan.

Beliau berkata, dapatan oleh Mahkamah Syariah bahawa Maria Chin telah sabit melakukan penghinaan kepada Mahkamah Syariah memberi isyarat ahli legislatif perlu lebih berhati-hati dalam tindakan mereka dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan kedudukan mereka tanpa mengira sensitiviti.

Tambahnya, PEMBELA mengalu-alukan ketegasan Mahkamah Syariah dalam pensabitan kes seperti itu.

“PEMBELA merujuk kepada perkembangan kes Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin yang telah disabitkan atas penghinaan dan fitnah beliau terhadap Mahkamah Syariah sebagaimana telah dilaporkan semalam,

“PEMBELA melahirkan rasa kesal dan marah terhadap tindakan Maria Chin selaku seorang wakil rakyat yang telah menjadi contoh buruk dan mampu mendorong kelompok-kelompok tertentu untuk terus rakus memperlekeh perundangan syariah di Malaysia yang pada muktakhir ini semakin menjadi-jadi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tegasnya, Mahkamah Syariah perlu diangkat ke kedudukan yang lebih tinggi agar penghinaan-penghinaan sebegini dapat dibendung dengan lebih efektif selain memperkasakan sistem perundangan syariah di Malaysia.

“Mahkamah syariah hendaklah tegas memberi penghakiman tanpa campur tangan pihak luar ataupun dalaman mereka sendiri,

“Mahkamah Syariah juga tidak seharusnya diberi tekanan oleh mana-mana pihak di dalam membuat keputusan yang adil,

“Sehubungan dengan itu, PEMBELA mempersoalkan status usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah melalui Rang Undang-Undang 355 (RUU355) yang telah dipandang sepi walaupun telah dijanji oleh mereka yang kini memegang tampuk kuasa,” ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, Aminuddin turut menyeru rakyat Malaysia agar sensitif dan cakna terhadap isu-isu semasa terutamanya yang menggugat maruah serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara kepada Maria Chin Abdullah selama 7 hari berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Mohamed Faouzi Mokhtar menjatuhi hukuman tersebut selepas mendapati Ahli Parlimen Petaling Jaya itu telah menghina mahkamah berkait dengan kes membabitkan Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emelia Hanafi.

Jelas, Mohamed Faouzi ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan tajuk yang digunakan oleh Maria dalam artikel tersebut sendiri telah menghina mahkamah dan memberikan tanggapan buruk terhadap institusi mahkamah syariah di mata awam.

“Responden juga telah menggunakan fakta yang salah, tidak berkaitan dalam penulisannya,
“Tindakan responden jelas merendahkan, memperlekehkan, memfitnah dan menghina Mahkamah Syariah,

“Responden sebagai Ahli Dewan Rakyat juga tidak wajar untuk memfitnah dan menghina mahkamah yang sedang menjalankan tanggungjawabnya,” kata hakim. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply