Home Semasa Ismail Sabri ke Qatar dan UAE perkukuh hubungan dua hala

Ismail Sabri ke Qatar dan UAE perkukuh hubungan dua hala

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adakan lawatan rasmi pertamanya ke Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini hingga 31 Mac.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) berkata, Perdana Menteri turut akan mengadakan pertemuan dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dalam lawatan tersebut.

“Agenda utama yang akan dibincangkan termasuk pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Qatar yang sedia terjalin dalam pelbagai bidang kerjasama,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, kedua-dua pemimpin dijangka menetapkan hala tuju kerjasama ekonomi dan usaha pemulihan pasca-pandemik serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa yang penting.

“Perdana Menteri juga akan membuat sesi libat urus dengan komuniti perniagaan dan Keluarga Malaysia di Doha,” ujar kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kunjungannya ke UAE, Ismail Sabri akan mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

“Kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh mengenai kerjasama dalam pelbagai aspek antara kedua-dua negara, termasuk menangani pandemik COVID-19 dan usaha pemulihan pasca-pandemik,

“Di samping itu kedua-dua pemimpin turut akan bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa,” jelas Wisma Putra.

Perdana Menteri juga dijadual melawat Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai serta bertemu komuniti perniagaan dan Keluarga Malaysia di Dubai.

Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Wisma Putra menambah, kedua-dua lawatan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan COVID-19 yang berkuatkuasa di Malaysia, Qatar dan UAE. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply