KUALA LUMPUR, 20 Mac – Kerajaan telah meluluskan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 kepada golongan B40 berkuatkuasa 1 Mei 2022 di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar gaji minimum baharu ini dilaksanakan memandangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dan memberi tekanan kepada golongan B40.
“Hari ini (semalam) saya ingin mengumumkan di dalam dewan ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500,
“Pembayaran gaji minima ini akan bermula 1 Mei 2022 di seluruh negara,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Beliau berkata, pelaksanaan tersebut hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Tambahnya lagi, bagi syarikat, perusahaan kecil dan koperasi yang tidak mampu membayar dengan kadar gaji minimum tersebut, kerajaan telah mengarahkan Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk berbincang bagi menangguhkan terlebih dahulu perkara berkenaan.
“Kita faham kalau ada restoran, gerai atau warung di kampung yang ada jumlah pekerja yang kecil, tidak wajar memaksa mereka,
“Jadi, 1 Mei ini hanya untuk syarikat yang besar, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya,” ujarnya. – airtimes.my