SANDAKAN, 20 Mac – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan berjaya menahan 2 orang warga tempatan bersama petrol bersubsidi di jalan Bulatan Batu Sapi, semalam.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, kegiatan mereka dikesan apabila sedang leka mengisi minyak ke dalam beberapa tong drum di stesen minyak berhampiran pusat bandar.
“Curiga dengan kegiatan mereka, Ketua Pegawai Operasi, Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan, Superintenden Abd Halim Ahmad mengekori kenderaan yang digunakan sebelum menahannya bagi pemeriksaan,
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lori tersebut membawa sebanyak 25 tong drum berisi minyak petrol yang dianggarkan sebanyak 4,800 liter”, ujarnya.
Abdul Rani berkata, kedua-dua suspek gagal menunjukkan dokumen sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi kebenaran membawa minyak bersubsidi,
“Suspek serta rampasan dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk tindakan selanjutnya termasuk dirujuk ke pejabat KPDNHEP”, jelasnya.
Beliau menjelaskan, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM59,840 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. -airtimes.my