Home Semasa KWSP: Kerajaan beri lampu hijau pengeluaran khas RM10 ribu

KWSP: Kerajaan beri lampu hijau pengeluaran khas RM10 ribu

by M.Daim

PUTRAJAYA, 16 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pengeluaran khas RM10 ribu kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam satu sidang media khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Menurut beliau, dapatan kajian dan penelitian pasca pandemik menunjukkan rakyat Malaysia masih terkesan dari segi ekonomi.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP,

“Kerajaan bersetuju untuk membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10 ribu,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, penjelasan lanjut pengeluaran khas ini akan dibuat oleh pihak KWSP dan Kementerian Kewangan Malaysia.

“Keputusan ini adalah satu keputusan yang sukar kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat,

“Pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merayu kepada pencarum untuk membuat pertimbangan sebelum mengambil keputusan untuk melakukan pengeluaran.

“Saya merayu kepada pencarum untuk mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak,

“Saya berharap pencarum membuat pertimbangan sewajarnya demi masa depan,” kata Ismail Sabri.

Pengumuman terbaharu ini merupakan pengeluaran khas ke-4 yang diputuskan oleh kerajaan Malaysia semenjak wabak COVID-19 melanda negara pada tahun 2020.

Menurut Perdana Menteri, jumlah keseluruhan pengeluaran pada 3 skim khas sebelum ini berjumlah RM101bilion melibatkan 7.34 juta pencarum. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply