Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat PUTD terima 6 helikopter MD530G perkasa ketumbukan tempur Tentera Darat

PUTD terima 6 helikopter MD530G perkasa ketumbukan tempur Tentera Darat

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=6zrDpp6ued4[/embedyt]

 

SUBANG, 28 Feb – Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) menerima 6 unit helikopter jenis MD530G bagi memperkasakan ketumbukan tempur Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam mempertahankan kedaulatan negara di semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, pesawat MD530G adalah sebuah helikopter tempur ringan yang dilengkapi kuasa tembakan (firepower) jenis Gatling Gun 7.62mm, Heavy Machine Gun 12.7 milimeter (mm) dan Rocket Launcher 70mm.

“Keupayaan kuasa tembakan dimiliki pesawat itu juga mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri pada jarak 500 meter ke 7 kilometer selain ketangkasannya membolehkan pelaksanaan penugasan tinjauan udara,

“Jadi, demi mendokong tonggak pertama Tentera Darat iaitu kelangsungan misi dan kesiagaan, helikopter ini akan diaturgerakkan untuk membantu ketumbukan tempur TDM yang lain di semenanjung Malaysia dan juga di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ketibaan Helikopter MD530G di Hangar 2, Invation Aero pada Isnin.

Zamrose menjelaskan, 3 pesawat tempur ringan ini akan dihantar ke Sabah untuk kegunaan di kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Sebelum ini, kita memang rancang untuk penugasan persisiran Pantai Timur Sabah tetapi memandang sudah ada 3 Agusta Westland di sana, jadi kita akan tempatkan 3 di ESSCOM dan 3 lagi di Kluang (Kem Mahkota) untuk tujuan latihan,” jelasnya.

Menurutnya, seramai 8 juruterbang dan 9 juruteknik telah menyertai program latihan di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat selama 43 hari sebelum dibenarkan mengendalikan pesawat tersebut.

“Selain itu, demi memastikan kualiti pesawat menepati spesifikasi Tentera Darat, satu tim pemeriksaan pra-penghantaran ditubuhkan pada Julai 2021 dan dihantar ke Arizona untuk melaksanakan pemeriksaan terhadap pesawat,

“Pemeriksaan ini merangkumi pelbagai pemeriksaan fizikal pesawat, kefungsian atau keupayaan, fizikal alat ganti, flight training device simulator dan fizikal persenjataan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai pesawat buatan Amerika Syarikat itu, Zamrose menjelaskan, ia dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd.

“Pesawat ini adalah merupakan buatan Amerika Syarikat dan dibina oleh MD Helicopter Inc (MDHI),

“Helikopter ini selamat tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Februari lalu selepas melalui pelayaran selama 31 hari dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat,

“Selain dari membekal 6 buah helikopter, kontrak perolehan ini juga merangkumi program latihan untuk juruterbang dan juruteknik PUTD,” tambahnya. -airtimess.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply