Home Semasa Jawatankuasa khas kawal penularan COVID-19 diaktifkan semula

Jawatankuasa khas kawal penularan COVID-19 diaktifkan semula

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengaktifkan semula National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF) dalam usaha memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi gelombang terbaharu penularan COVID-19 di dalam negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, RRTF adalah jawatankuasa khas yang akan melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan.

“Antara tindakan awalan pantas berkenaan ialah menambah dan mengubah suai katil bukan COVID-19, membina hospital medan dan penyumberluaran pesakit ke hospital swasta,

“RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Asmayani Khalib, yang akan membuat pelaporan terus kepada saya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Selain itu, Khairy menjelaskan, kadar penggunaan katil COVID-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membimbangkan buat masa ini.

Jelasnya, sebanyak 3,233 katil daripada 9,776 yang disediakan telah digunakan, dengan kadar penggunaan 33 peratus.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 4 peratus berbanding minggu sebelumnya,

“Manakala kadar penggunaan katil ICU pula adalah sebanyak 14 peratus atau 116 daripada 850 katil yang disediakan, penurunan sebanyak 1 peratus,

“Buat masa ini, kadar penggunaan katil COVID-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membebankan,” tambahnya.

Menurutnya, sehingga 6 Februari 2022, KKM telah bersiap sedia dengan 120 buah hospital bagi menangani penularan COVID-19 di dalam negara.

“Sebanyak 120 hospital disediakan di mana, 9 buah hospital penuh merawat COVID-19 dan 111 Hybrid COVID-19 Hospital,

“43 buah {usat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan 10,810 buah katil,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply