LONDON, 29 Jan – United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang mempertingkatkan tahap persiapan pertahanan siber negara itu berikutan situasi semasa di Ukraine.
Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan United Kingdom (National Cyber Security Centre, NCSC) telah mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku serangan siber terhadap negara itu dari Rusia.
“Bagi menghadapi ancaman ini, NCSC telah mengarahkan organisasi di UK untuk mengambil tindakan bagi mempertingkatkan keselamatan sistem,
“Ini termasuk melakukan kemas kini, memperketatkan akses dan melakukan sandaran (backup) pada sistem,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut NCSC, arahan dikeluarkan berikutan berlakunya peningkatan serangan siber terhadap Ukraine oleh Rusia semenjak beberapa bulan yang lalu.
Ini berdasarkan tatacara dan corak serangan.
“Antara serangan yang berlaku terhadap Ukraine adalah sekatan akses kepada laman web kerajaan, serangan perisian hasad (malware) terhadap organisasi kerajaan, perkhidmatan teknologi maklumat dan NGO,” katanya.
Tambahnya, serangan sebegini pernah berlaku seperti NotPetya 2017 dan Georgia pada 2019.
“Sokongan UK terhadap Ukraine menjadi motif serangan,” katanya. – airtimes.my