Home Semasa Mesyuarat khas Parlimen bincang isu saham Azam Baki 19 Januari

Mesyuarat khas Parlimen bincang isu saham Azam Baki 19 Januari

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Parlimen Keempat Belas Bilangan 1 Tahun 2022 akan diadakan Rabu ini bagi membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin, dalam satu pekeliling bertarikh 11 Januari 2022, memaklumkan mesyuarat berkenaan akan diadakan pada jam 2 petang di Bilik Jawatankuasa 2, Aras 2, Bangunan Blok Utama Parlimen.

“Mesyuarat ini bertujuan membincangkan isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Menurut surat pekeliling itu, Ahli-Ahli Yang Behormat adalah dijemput hadir untuk menjalani ujian kendiri COVID-19 menggunakan kaedah RTK Ag Saliva di Klinik Parlimen pada 19 Januari sebelum menghadiri mesyuarat.

“Ahli-ahli Yang Berhormat juga dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) oleh Parlimen Malaysia semasa berada di Kompleks Parlimen,

“SOP tersebut boleh dimuat turun melalui portal rasmi Parlimen Malaysia,” katanya.

Surat pekeliling tersebut dimuat naik oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu dari DAP, Chan Foong Hin, dalam Facebook beliau, hari ini.

“Pagi ini menerima pengesahan bahawa satu mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri akan dipanggil pada 19 Januari 2022 (Rabu depan), jam 2 petang di Parlimen,

“Isu yang akan kami bincang: isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam hantaran itu.

Terdahulu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak agar satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting ini, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari nanti. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply