Home PolitikPakatan Harapan Adakan sesi khas Parlimen siasat isu Azam Baki – PH

Adakan sesi khas Parlimen siasat isu Azam Baki – PH

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa supaya siasatan penuh dilakukan bukan sahaja terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki malah juga kepada Ketua-Ketua Pesuruhjaya yang telah berkhidmat sebelum ini.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, siasatan penuh tersebut perlu dilakukan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM.

“Pada masa yang sama, ketua pesuruhjaya dan pengerusi Lembaga Penasihat SPRM sedia ada perlu direhatkan sehingga siasatan bebas tersebut selesai,

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, seperti yang telah didakwa pelbagai pihak,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Upko Madius Tangau.

Sebelum ini, Azam Baki menafikan tuduhan bahawa beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat. Beliau menegaskan perkara tersebut merupakan satu tohmahan yang berniat jahat.

Selain daripada itu, beliau turut menegaskan saham-saham yang didakwa dimiliki beliau adalah dibeli oleh adiknya melalui pasaran terbuka.

Pada 5 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang media dimaklumkan oleh Azam bahawa akaun saham miliknya telah digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk memperoleh saham dalam 2 syarikat pada 2015.

Dalam masa yang sama, Majlis Presiden PH turut menyarankan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh hanya berdiam diri.

“Selaku Ketua Majlis, beliau harus memanggil sidang Parlimen khas bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam Baki,

“Beliau juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM telah menjadi rosak sehingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi, termasuk kecurian RM25 juta wang kes Datuk Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawai-pegawai SPRM,” tambah kenyataan itu.

Tambahnya, kenyataan Azam menunjukkan terdapat kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan yang melibatkan akaun saham Azam yang digunakan untuk membeli berjuta-juta saham bagi pihak adiknya.

“Ini melibatkan undang-undang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah, serta isu punca dana yang telah diguna untuk pembelian jutaan saham ini,

“Pengerusi LPPR pula dengan begitu mudah mengiakan penjelasan tersebut, walaupun seharusnya siasatan yang lebih terbuka dan menyeluruh dilakukan, kerana melibatkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia,” jelasnya.
Semalam, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan berkata akan menghubungi Azam Baki untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak berkaitan dalam isu tersebut.

SC turut menyatakan akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan mengikut Seksyen 25 Akta Perindustian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply