Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 2 daripada 45 PATI Indonesia ceroboh Malaysia positif COVID-19

2 daripada 45 PATI Indonesia ceroboh Malaysia positif COVID-19

by Nurulhuda

MERSING, 15 Nov – Dua daripada 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di perairan utara Tenggaroh, awal pagi tadi disahkan positif COVID-19.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) berkata, anggota petugas Pos Pemerhati sebelum itu telah mengesan bunyi dan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut pada jam 1 pagi.

“Atas maklumat tersebut, anggota petugas telah membuat serbuan dan sekitar jam 1.30 pagi, seramai 39 PATI berjaya ditahan,

“26 daripadanya dipercayai baru saja tiba dan selebihnya iaitu 13 PATI sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Kemudian, pada jam 8.45 pagi, anggota Quick Reaction Force (QRF) yang ditugaskan untuk membuat penjejakan telah berjaya menangkap 6 PATI sedang bersembunyi di kawasan Ladang Sawit Tenggaroh Timur tidak jauh dari lokasi tangkapan pertama yang dipercayai saki baki PATI yang baru tiba ke negara ini.

“Kesemua 45 PATI tersebut yang terdiri daripada 36 lelaki dan 9 wanita warga Indonesia berusia sekitar 19 hingga 46 tahun,

“Kesemua mereka telah dibuat saringan COVID19 di Pos Tanjung Sepang. Hasil ujian saringan mendapati 2 daripadanya positif COVID-19,

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguruskan 2 PATI tersebut mengikut prosedur KKM sehingga diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” tambahnya.

Pihak 3 Div menjelaskan, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM10 ribu melibatkan matawang Malaysia RM4,174.00, Indonesia IDR5,455,300 (RM1,590.65) bersama 8 buah telefon bimbit serta barangan kemas.

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak JIM Setia Tropika, Kempas,

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” jelasnya.

Pada masa yang sama, tim QRF dan tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di aturgerakkan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply