Home Pertahanan dan Keselamatan LCS: Peluang akhir betulkan keadaan, sasar terima kapal LCS pertama 2025 – Menteri Pertahanan

LCS: Peluang akhir betulkan keadaan, sasar terima kapal LCS pertama 2025 – Menteri Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyatakan Kementerian Pertahanan Malaysia sedang berada di peringkat akhir pelan pemulihan projek Littoral Combat Ship (LCS).

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa penggulungan Perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Tegasnya, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain daripada untuk memastikan perolehan LCS disempurnakan.

“Keutamaan saya adalah untuk menyelamatkan projek ini kerana kapal ini amat diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

“Malah, projek ini melibatkan vendor tempatan yang turut melibatkan veteran-veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” ujarnya.

Hishammuddin menambah, beliau telah mengambil pendekatan inklusif dengan melibatkan pihak berkepentingan seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead, Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

“Kementerian Pertahanan kini diperingkat akhir rundingan untuk menyediakan pelan pemulihan projek LCS,

“Pelan ini akan dibentangkan kepada pihak Jemaah Menteri untuk mendapat kelulusan,

“Sekiranya pelan ini diluluskan, sasaran TLDM untuk menerima kapal LCS pertama mereka adalah pada tahun 2025,” jelasnya.

Jelas Menteri Pertahanan, perbincangan terbuka dengan pengurusan baharu Boustead turut dilaksanakan.

“Ini adalah satu-satunya peluang untuk betulkan keadaan,” kata Hishammuddin.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan turut menegaskan pihak kerajaan tidak akan membayar dana tambahan lebih daripada apa yang telah dipersetujui.

Cadangan perolehan 6 buah kapal LCS telah bermula pada tahun 2010 ketika ianya dibawa ke Jemaah Menteri. Perolehan ini kemudiannya diluluskan oleh kerajaan untuk melakukan perolehan kapal tersebut di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) dan RMK-11.

Tempoh projek yang ditetapkan adalah 10 tahun iaitu bermula 3 Oktober 2013 dan berakhir pada 2 Oktober 2023.

Menurut Hishammuddin, projek ini telah mengalami kelewatan selama 43 bulan dari jadual asal.

“Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan kerja bagi LCS adalah 57.5 peratus berbanding jadual kerja asal 96.5 peratus,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply