Home Semasa Hukuman mati warga Malaysia: Wisma Putra utus surat kepada kerajaan Singapura

Hukuman mati warga Malaysia: Wisma Putra utus surat kepada kerajaan Singapura

by M.Daim

PUTRAJAYA, 3 Nov – Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan pihaknya telah menghantar surat kepada rakan sejawatannya di Singapura berhubung hukuman mati terhadap seorang rakyat Malaysia di negara itu.

Saifuddin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus memantau perkembangan kes Nagaenthran Dhamalingam.

“Wisma Putra akan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada Nagaenthran serta keluarga beliau,” katanya.

Menteri Luar turut mengesahkan beliau telah menerima surat daripada organisasi Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) melalui Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

“Surat tersebut memaklumkan pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran dan memohon supaya Kementerian Luar Negeri membangkitkan kes ini dengan kerajaan Singapura,” jelasnya.

Nagaenthran telah ditahan oleh pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram. Beliau dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Proses rayuan hukuman telah dijalankan sehingga ke peringkat akhir iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden (Presidential Clemency) namun ditolak pada 1 Jun 2020.

Hukuman akan dilaksanakan pada 10 November 2021. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply