Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara 40 tahun Op Gateway: Manifestasi kerjasama TUDM-RAAF

40 tahun Op Gateway: Manifestasi kerjasama TUDM-RAAF

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Sambutan ke-40 tahun Operasi Gateway (Op Gateway) menjadi manifestasi kerjasama bilateral berterusan di antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

TUDM dalam satu kenyataan berkata, sambutan ini sepatutnya berlangsung pada Mei lalu namun ditunda berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Akhirnya direalisasikan pada hari bersejarah ini di Pangkalan Udara  Butterworth, Pulau Pinang dengan sambutan secara berskala kecil serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan menghadkan jumlah kehadiran,

“Sambutan ini diadakan di Hangar 19 Skuadron RAAF dengan kehadiran kira-kira 50 pegawai dan tentera dari TUDM serta RAAF,” katanya.

Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Shaiful Azuar Ariffin TUDM berkata, sambutan ke-40 tahun ini adalah manifestasi daripada sokongan padu dan kerjasama ketenteraan yang berterusan di antara TUDM dan RAAF.

“Khususnya Op Gateway yang terjalin sejak 1981 malahan kewujudan RAAF di Malaysia telah lama bermula sejak sebelum perang dunia kedua lagi,” ujarnya.

Pada sambutan kali ini, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM dan Panglima Tentera Udara RAAF, Air Marshal Mel Hupfeld turut menyampaikan ucaptama yang disiarkan secara virtual.

Ackbal menerusi ucapannya, mengalu-alukan kehadiran RAAF dan Kedutaaan Australia sebagai tanda sokongan berterusan sempena sambutan bersejarah memperingati Op Gateway sebagai satu aspek penting di dalam hubungan dua hala di antara Malaysia dan Australia.

“Ackbal juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan khusus kepada Flight Lieutenant A Steff, RAAF selaku Komander pesawat P-3 dan kru di atas penglibatan misi mencari dan menyelamat insiden rampasan kapal tangki Malaysia iaitu MT Orkim Harmony pada tahun 2015,

“Pesawat P-3C Orion milik RAAF telah mengesan kapal tangki berkenaan sehingga akhirnya membawa kepada kejayaan menyelamatkan kembali kapal tangki berkenaan termasuk anak kapalnya,” jelasnya.

Katanya, Op Gateway adalah untuk menyedia dan melaksanakan pemantauan maritim.

“Sambutan ke-40 ini merupakan acara yang signifikan bagi mengekalkan kelestarian hubungan bilateral TUDM dan RAAF di samping menjaga kepentingan pertahanan negara,” ujarnya.

Malaysia dan Australia turut menjalinkan kerjasama melalui Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang baharu sahaja menyambut ulang tahun ke-50 baru-baru ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply