Home PolitikPakatan Harapan Majlis Presiden PH: Norhizam Hassan bukan calon PRN Melaka

Majlis Presiden PH: Norhizam Hassan bukan calon PRN Melaka

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak meletakkan Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Perkara itu diputuskan Majlis Presiden PH dalam mesyuarat yang diadakan hari ini.

Menerusi kenyataan bersama, Majlis Presiden PH juga menegaskan bahawa isu pencalonan 4 bekas ADUN yang hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak berbangkit di dalam mesyuarat yang dilaksanakan hari ini.

“Dalam isu 4 bekas ADUN, PH telah menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini,

“Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu. Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini,” jelanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti AMANAH, Mohamad Sabh; Setiausaha Agong DAP, Lim Guang Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.⠀

Pada masa sama, Majlis Presiden PH turut memutuskan menghantar wakil untuk bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka.

“Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak terutama pada ketika Melaka berada di dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” tambahnya.

Dalam mesyuarat hari ini, Majlis Presiden PH turut bersetuju melantik Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari bagi mengetuai jentera pilihan raya Pakatan Harapan Melaka bagi menghadapi PRN Melaka. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply