Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Amanat arwah bapa jadi pembakar semangat, rangkul penuntut keseluruhan terbaik

Amanat arwah bapa jadi pembakar semangat, rangkul penuntut keseluruhan terbaik

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=RmCCeqPCvoY[/embedyt]

 

PORT DICKSON, 10 Okt – Kehilangan bapa tersayang tidak membuatkan Perajurit Muda Azrel Ishak, 19, patah semangat malah berjaya dinobatkan sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik dalam Kursus Asas Latihan Tentera Darat.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini menjelaskan, arwah bapanya telah meninggal dunia kerana menghidapi penyakit angin ahmar pada 22 Mei lepas ketika beliau sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).

“Arwah ayah saya seorang pesara tentera laut, jadi darah pahlawannya mengalir dalam diri saya,

“Arwah ayah pernah berkata, teruskan latihan walau apa pun yang terjadi, ayah sentiasa tengok adik,

“Kalau boleh, ayah nak tengok adik yang bawa tamat latihan ini (ketuai perbarisan tamat latihan),” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 193/2021, semalam.

Tambahnya lagi, berkat iringan doa ibu serta adik beradik turut membuatkan dirinya berjaya merangkul anugerah ini.

“Pesanan arwah, apa-apa berlaku di pusat latihan, tahan mental tahan fizikal dan teruskan latihan,

“Ingat kita sebagai tentera, negara dan keluarga kena pertimbangkan kedua-duanya, jangan berat sebelah kanan atau berat sebelah kiri,” ujarnya lagi mengulangi pesanan arwah ayahnya.

Beliau juga menyeru kepada belia-belia diluar sana supaya menceburi bidang ketenteraan kerana terdapat pelbagai pengalaman dan latihan termasuk mengajar kita cara mendisiplinkan diri.

Turut menerima anugerah adalah Muhd Luqman Fawwaz Salimi dari Banting, Selangor iaitu Akademik Terbaik; Patrick Nyaum anak Jantan, dari Sibu, Sarawak menerima anugerah Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik dan Kawad Terbaik pula disandang oleh Mohamad Shamirul Ramza berasal dari Sungai Udang, Melaka.

Semalam, seramai 2,525 perajurit muda lelaki berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat di PUSASDA.

Majlis perbarisan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Zamrose berkata, perajurit muda yang menjalani latihan di PUSASDA, telah dilengkapkan dengan segala aspek pengetahuan asas ketenteraan serta kemahiran yang diperlukan sebagai seorang anggota TDM yang terlatih.

Fokus latihan terarah kepada pembinaan aspek jasmani dan fizikal, serta aspek kerohanian bagi memastikan mereka tampil sebagai seorang perajurit muda yang berkeyakinan, berketerampilan, berdisiplin serta kompeten. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply