Home Semasa Rakyat Malaysia boleh pulang ke kampung, rentas negeri dibenarkan esok – PM

Rakyat Malaysia boleh pulang ke kampung, rentas negeri dibenarkan esok – PM

by M.Daim

PUTRAJAYA, 10 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan telah menarik balik sekatan rentas negeri mulai esok.

Beliau dalam satu sidang media khas berkata, keputusan dibuat berdasarkan peratusan populasi dewasa yang telah menerima dos lengkap vaksin.

“Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imuniasasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus,

“Oleh itu, saya mengumumkan rentas negeri dibenarkan oleh pihak kerajaan. Kebenaran ini, kebebasan ini bermula hari esok,” katanya.

Kebenaran ini tidak melibatkan pegerakan ke kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Selain daripada itu, Ismail Sabri menegaskan kebenaran ini adalah khusus kepada rakyat Malaysia yang telah lengkap divaksin.

“Mereka yang belum menerima dos lengkap atau tidak divaksin tidak dibenarkan untuk melakukan pergerakan rentas negeri,

“Walaupun tiada sekatan jalan raya yang khusus, pihak polis boleh membuat pemeriksaan MySejahtera secara rawak di mana-mana sahaja,” ujar beliau.

Menurut Ismail Sabri, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih dikuatkuasakan.

“Mana-mana kesalahan dibawah Akta 342 masih boleh diambil tindakan,” katanya.

Selain kebenaran rentas negeri, Ismail Sabri turut mengumumkan kebenaran aktiviti pelancongan domestik.

Pada masa yang sama, kerajaan turut memansuhkan keperluan MyTravel Pass kepada mana-mana rakyat Malaysia yang ingin keluar negara.

Pemansuhan MyTravel Pass adalah berkuatkuasa esok.

“Ini bermakna sesiapa sahaja boleh ke luar negara termasuk untuk pelancongan dengan syarat mereka mesti lengkap divaksin,” katanya.

Namun begitu, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin 14 hari mengikut ketetapan oleh KKM. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply