Home Semasa China sumbang 1 juta dos vaksin kepada Malaysia, pererat hubungan dua hala

China sumbang 1 juta dos vaksin kepada Malaysia, pererat hubungan dua hala

by M.Daim

PUTRAJAYA, 29 Sept – Kerajaan China akan menyumbangkan sebanyak 1 juta dos vaksin Sinovac kepada Malaysia.

Menurut kenyataan oleh Wisma Putra, keputusan kerajaan Beijing disampaikan kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah oleh Penasihat Negara dan Menteri Luar Negeri Republik Rakyat China, Wang Yi dalam satu perbualan telefon antara kedua-dua pihak.

“Keputusan untuk menyumbangkan 1 juta dos vaksin Sinovac tambahan kepada Malaysia atas dasar persahabatan yang mendalam antara kedua-dua negara dan sesama rakyat,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, China telah menyumbangkan 500,000 dos vaksin Sinovac kepada Malaysia bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Terdahulu, Saifuddin dan Wang Yi telah mengadakan satu perbualan telefon bagi memperbaharui hubungan kerja dan persahabatan mereka. Kedua-dua pihak turut berkongsi dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa semasa.

“Kedua-dua Menteri Luar Negeri menyatakan komitmen berterusan bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara,” jelas kenyataan itu.

Malaysia dan China akan terus mengembangkan kerjasama dua hala ke bidang baru, terutama dalam teknologi dan industri, termasuk ekonomi digital serta keselamatan siber sebagai manfaat bersama kepada rakyat di kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, kedua-dua Menteri telah membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk perkembangan terkini di Laut China Selatan.

Malaysia dan China telah melaksanakan kerjasama erat di antara kedua-dua pihak semasa wabak COVID-19 melanda dunia.

Putrajaya sebelum ini menyumbangkan wang tunai sebanyak USD$1 juta, 18 juta sarung tangan getah dan 15 tan barang makanan ke China semasa wabak mula menular di Wuhan.

China, melalui saluran kerajaan dan entiti swasta, telah memberi sumbangan bekalan peralatan perubatan seperti topeng muka, peralatan pelindung diri (PPE) dan ventilator kepada Malaysia.

Selain daripada itu, Beijing turut menghantar sepasukan pakar kesihatan dari Guangzhou untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam rawatan pesakit serta pengurusan data di negara ini.

Malaysia dan China telah menandatangani Perjanjian Kerjasama dalam Pembangunan dan Aksesibiliti Vaksin serta Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama dalam Era Pasca-COVID-19.

Beijing turut menyenaraikan Malaysia dalam senarai keutamaan penerima vaksin buatan RRC pada bulan Oktober 2020.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama Putrajaya dan Beijing untuk menangani wabak ini secara berkesan, menuju ke pemulihan penuh bagi kedua-dua negara,” jelas Wisma Putra. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply