Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara COVID-19: Pesawat A400M TUDM terbangkan peralatan, bekalan perubatan tambahan ke Sabah

COVID-19: Pesawat A400M TUDM terbangkan peralatan, bekalan perubatan tambahan ke Sabah

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 7 Sept – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menerbangkan bekalan peralatan perubatan dan ubat-ubatan tambahan untuk merawat pesakit COVID-19 di Sabah, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi hantaran di media sosialnya berkata, bekalan perubatan tersebut telah selamat tiba di Kota Kinabalu, pagi tadi.

“Seperti yang dijanjikan semalam, hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menghantar 480 unit silinder oksigen, 48 mesin oxygen regulator dan bekalan ubat-ubatan ke Sabah pagi ini,

“Terima kasih kepada Kementerian Pertahanan Malaysia dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah membantu menyempurnakan proses penghantaran ini,

“Penerbangan misi bantuan ini adalah dengan menggunakan pesawat TUDM,” katanya.

Menurutnya, Creador Foundation dan Yayasan Bursa Malaysia telah turut sama menjayakan misi ini dengan menyumbangkan silinder oksigen serta menyumbangkan oxygen concentrator untuk kerajaan negeri Sabah.

“Sabah Oxygen Sdn Bhd telah memberikan tajaan logistik silinder oksigen kepada hospital-hospital di Sabah dan pihak Layang-layang Aerospace Sdn Bhd dan Raya Airways turut membantu dalam penggunaan ‘forklift’,” tambahnya.

Sebelum ini, Khairy yang melakukan lawatan ulungnya di Sabah turut menjelaskan, beberapa langkah intervensi akan mula dilaksanakan bagi menghadapi trend peningktaan kes jangkitan COVID-19 di negeri itu.

“Langkah tersebut termasuklah kesiapsiagaan dari segi kemudahan, bantuan peralatan dan sumber manusia,

“KKM akan menghantar peralatan perubatan tambahan ke Sabah merangkumi silinder oksigen, Oxygen Regulator dan ubat-ubatan COVID-19. Peralatan perubatan tambahan ini dijangka tiba pada hari ini (7 September 21) melalui kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” jelasnya.

Pada masa yang sama, Khairy menjelaskan, KKM juga akan menyediakan modular Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan kapasiti 10 katil ICU di Hospital Tawau dan dijangka mula beroperasi pada hujung September ini.

Menurutnya, bilangan ambulans juga dipertingkatkan melalui kaedah penyewaan sementara menunggu proses perolehan ambulans selesai mengikut tatacara perolehan semasa,

“Selain itu, Sabah juga akan diberikan tumpuan khas bagi pemberian vaksin COVID-19 menerusi 224 buah PPV selain meningkatkan aktiviti vaksinasi bagi vaksin CanSino melalui program jangkau luar di kawasan-kawasan pedalaman dan sukar diakses bermula 27 Ogos 2021 sehingga hujung September ini,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply