Home Semasa Abdul Azeez belum bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram – SPRM

Abdul Azeez belum bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram – SPRM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum dibebaskan daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, kenyataan peguam Abdul Azeez iaitu Amer Hamzah Arshad mengenai analisis laporan kewangan SPRM sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah hanyalah hujahan dan belum diputuskan mahkamah.

“Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram,

“Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut,

“Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan semalam,” katanya.

Susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

“SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply