Home Diskusi Krisis politik: Jika masih buntu, mandat rakyat adalah jalan penyelesaiannya

Krisis politik: Jika masih buntu, mandat rakyat adalah jalan penyelesaiannya

by M.Daim

Disebalik badai COVID-19 yang mengganas di tanah air kita, isu politik kembali ke dalam radar masyarakat kita semenjak mutakhir ini. Krisis politik sewaktu wabak melanda negara menjadikan nasib kita umpama sudah jatuh ditimpa tangga.

Mengapa? Kerana pada ketika rakyat sedang cuba mengadu nasib di situasi yang sukar, mereka terpaksa pula menghadapi keadaan politik yang tidak menentu yang mungkin boleh menggugat usaha untuk mengekang penularan wabak ini.

Jika melihat di media sosial, perkembangan COVID-19 hampir padam apabila isu politik mula menghiasi paparan berita.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mendedahkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempersembahkan surat peletakan jawatan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa yang sama, beberapa foto mahupun video tular yang menunjukkan beberapa Menteri Kabinet sudah mula mengosongkan pejabat mereka. Dan ada pula yang memberi kenyataan seolah-olah amanat terakhir, yang menjadi petunjuk bahawa kerajaan akan bertukar sekali lagi.

Sekiranya benar kerajaan bertukar pada hari ini, ianya merupakan kali kedua perkara sebegini berlaku semenjak Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan.

Demokrasi – Kerajaan dibentuk bersandarkan SD atau Undi Rakyat?

Sekali lagi, dokumen Statutory Declaration (SD) atau Akuan Bersumpah sekali lagi timbul untuk menjadi bukti sokongan dan pembentukan kerajaan baharu. Selain daripada itu, terdapat ahli politik bertukar parti atau dalam bahasa mudah, lompat parti apabila situasi mula tidak memihak kepada mereka.

Lompat parti merupakan satu isu yang telah lama diperdebatkan tetapi tiada sebarang tindakan atau peraturan sewajarnya digubal bagi membendung fenomena ini.

Secara jujur, ianya telah dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada pengundi yang telah memilih ahli politik pilihan mereka untuk membawa suara ke Dewan Rakyat.

Dan, implikasi daripada perkara sebegini perlu dilihat pada tempoh jangka panjang di mana rakyat akan mula hilang kepercayaan kepada sistem politik yang telah lama diadakan di negara kita.

Jika terus dibiarkan, fenomena lompat parti ini akan menjadi barah dan menghakis kestabilan politik tanah air.

Tambahan pula, negara berada dalam keadaan ‘power vacuum’ selepas kejatuhan Barisan Nasional pada tahun 2018. Selepas daripada itu, Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional agak goyah dalam mentadbir negara.

Secara jelas, hala tuju politik tanah air masih lagi menjadi persoalan utama di negara kita.

Meskipun begitu, adalah wajar PRU diadakan bagi menyelesaikan kebejatan politik yang berlaku di Malaysia.

Kerana apa? Kewujudan kerajaan bersandarkan SD sudah terbukti tidak cukup untuk bertahan lama. Malah, ianya menjadi titik permulaan kepada kemelut politik yang kita lihat pada hari ini.

Jika SD digunakan sebagai alat untuk membentuk kerajaan, sudah pasti SD juga akan digunakan sebagai poin pertukaran kerajaan. Lama kelamaan, proses pengundian akan hilang kepentingannya.

Jalan terbaik kepada kemelut politik hari ini adalah mengembalikan kuasa dan suara kepada rakyat melalui pelaksanaan PRU.

Walau siapa pun menawarkan diri mereka untuk menjadi pemimpin. Biarlah rakyat yang menentukan.

Sudah tentu perkataan 3 huruf ini menjadi igauan ramai kerana melihat apa yang berlaku semasa PRN Sabah satu ketika dahulu.

Mungkin SOP atau gerak kerja pada waktu itu tidak cukup berkesan dan sudah pasti ada sesi lesson learnt bagi memperbaiki kelemahan yang ada.

Untuk rekod, beberapa buah negara telah melaksanakan pilihan raya di negara mereka semasa COVID-19 sedang mengganas di pentas global. Antaranya Korea Selatan, Singapura dan Amerika Syarikat.

Melihat kajian oleh Council for Foreign Relations (CFR) bertajuk ‘How Countries Are Holding Elections During the COVID-19 Pandemic’ – pilihan raya bukannya mustahil untuk diadakan tetapi ianya sukar untuk dilaksanakan kerana mempunyai pertambahan dari segi gerak kerja.

Secara ringkas, pilihan raya yang diadakan perlu mempunyai SOP yang ketat serta pelaksanaan yang berkesan. Peraturan dan penguatkuasaan perlu bergerak seiring kerana kedua-dua faktor ini tidak boleh dipisahkan sekiranya mahu berjaya.

Mungkin pelaksanaan PRU pada ketika ini kelihatan satu penyelesaian radikal tetapi ianya adalah jalan terbaik bagi menutup kemaslahatan politik.

Perlu diingatkan bahawa situasi atau masalah yang sukar memerlukan penyelesaian luar biasa.

Jadi, ianya bergantung kepada kita semua bagaimana untuk laksanakan. Tepuk dada, tanya selera – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply