Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Helikopter EC 725 AP terbangkan jenazah anggota TUDM yang terkorban

Helikopter EC 725 AP terbangkan jenazah anggota TUDM yang terkorban

by Nurulhuda

KUCHING, 16 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengaturgerakkan helikopter EC 725 AP bagi penghantaran mayat anggotanya yang terkorban di dalam insiden kejadian tembakan pada Jumaat lalu.

TUDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, mayat terbabit telah diterbangkan ke Sarikei pada jam 8.10 pagi tadi.

Menurutnya, mayat Mendiang Laskar Udara Nesly Anak Nabau yang berasal dari Sibu selamat tiba di kediaman isterinya di Sarikei pada lebih kurang jam 9.30 pagi dan diberikan penghormatan terakhir sebelum disemadikan di Nirvana Memorial Park Sibu pada 18 Ogos 21.

“Urusan pengkebumian diuruskan oleh Pangkalan Udara (PU) Kuching dengan bantuan pihak hospital dan pihak pengurusan mayat Nirvana Memorial Park Sibu,” jelasnya.

Semalam, anggota di PU Kuching juga telah terlibat dalam urusan pengebumian 2 lagi jenazah yang maut dalam insiden tersebut.

Jenazah Allahyarham Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli yang berasal dari Seniawan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Seniawan pada lebih kurang jam 10.30 pagi.

Manakala, jenazah Allahyarham Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat yang berasal dari Asajaya Laut juga telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Asajaya Laut pada lebih kurang jam 11.15 pagi, semalam.

Penghormatan terakhir juga diberikan kepada Allahyarham oleh pengurusan tertinggi PU Kuching bagi mewakili Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM.

Anggota TUDM di Pangkalan Udara Kuching juga terlibat dalam urusan pengebumian 2 lagi jenazah yang maut dalam insiden tersebut. Foto: TUDM

Jumaat lalu, 4 anggota TUDM maut dalam insiden tembakan di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM, Kota Samarahan.

Pihak TUDM telah mengesahkan kejadian itu berlaku ketika serah menyerah tugas pengawal di balai pengawal, kem tersebut.

“TUDM mengesahkan berlaku satu insiden kejadian tembakan membabitkan 4 warganya telah berlaku hari ini lebih kurang jam 7.15 pagi di unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching, Sarawak ketika waktu anggota bertugas,

“Pihak TUDM menyerahkan kes kejadian kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan,” kata pihak TUDm dalam kenyataan.

Pada masa sama, TUDM menjelaskan pihaknya akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply