Home Semasa Saya masih Perdana Menteri

Saya masih Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih kekal dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Munurutnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika sesi menghadap Seri Paduka, di Istana Negara, pagi tadi.

Pada sesi menghadap hampir sejam itu, Muhyiddin mendedahkan bahawa beliau telah menyembah maklum telah menerima sejumlah Surat Akuan Bersumpah (SD) daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang sangat meyakinkan.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,”jelasnya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, hari ini.

Muhyiddin turut menjelaskan, telah menyembah maklum kepada baginda bahawa akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September,

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,

“Alhamdulillah, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini,

“Sementara itu, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Muhyiddin menegaskan tidak akan mengorbankan prinsip dan membelakangi sumpah jawatannya dengan menunaikan segala kewajipan dengan jujur.

Selian itu, beliau berkata akan menumpahkan seluruh taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

“Saya turut menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab anda tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,

“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya mencampuri urusan mahkamah dengan membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,

“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan,” ujarnya-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply