Home PolitikPakatan Harapan Tangguh sidang Parlimen, Ahli Dewan Negara PH serah memorandum kepada Rais

Tangguh sidang Parlimen, Ahli Dewan Negara PH serah memorandum kepada Rais

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Seramai 11 Ahli Dewan Negara Pakatan harapan (PH) yang terdiri daripada lantikan Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyerahkan surat memorandum kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim untuk membolehkan Persidangan Dewan Negara dibuka.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah di laluan masuk ke bangunan Parlimen, hari ini.

Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata, kesemua mereka hadir bagi menyatakan kekesalan apabila persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan bersidang pada 3 hingga 5 Ogos ditangguhkan dengan notis yang singkat dan didakwa tidak mengikut peraturan mesyuarat Dewan rakyat.

Menurutnya, Parlimen sepatutnya dijadikan tempat selamat yang boleh bersidang kerana lebih 99 peratus ahli dan petugasnya sudah menerima vaksin COVID-19.

“Hampir kesemua (99%) Ahli-Ahli Dewan Negara dan kakitangan telah mendapat 2 dos vaksin. Ini bermakna kawasan Parlimen sudah mencapai herd immunity,

“Dan berdasarkan fakta tersebut, kami berpendapat Dewan Negara selamat untuk bersidang,” katanya ketika ditemui pemberita.

Selain itu kata Mohd Yusmadi, pihaknya khuatir penangguhan sidang Parlimen berkemungkinan mempunyai motif poltiik.

“Dalam kandungan surat, kami mengatakan bahawa kami kesal kerana penangguhan persidangan Dewan Negara dalam tempoh jangka masa yang singkat.

“Kami kesal cara proklarimasi Ordinan Darurat dibatalkan tanpa melalui persidangan dan perbahasan di Dewan.

“Maka apabila (hak) kami dinafikan untuk bersidang, ia bermaksud bahawa lantikan ini (Seri Paduka Baginda) tidak dihormati,”tambahnya.

Yusmadi menjelaskan, hari ini merupakan hari pertama Sidang Khas Dewan Negara bersidang namun, tidak dapat dijalankan ekoran COVID-19.

Jelasnya, tujuan persidangan Dewan Negara adalah untuk menyemak imbang kepada perkara yang berlaku di sidang Dewan Rakyat.

“Dewan Negara adalah Dewan Legislatif tertinggi yang diwujudkan dengan tujuan utama untuk menyemak imbang hal ehwal legislatif di Parlimen Malaysia,

“Maka, apa-apa ketidakpatuhan boleh dipulihkan di sidang Dewan Negara,”tambahnya.

Terdahulu, Yusmadi bersama 10 Senator masuk ke laluan Parlimen pada jam 9 pagi untu menyerahkan memorandum tersebut.

Mereka termasuklah, Senator Raj Munni Sabu; Senator Manolan Mohamad; Senator Datuk Ismail Yusop; Senator Suresh Singh; Senator Alan Ling Sie Kiong: Senator Adrian Lasimbang; Senator DR Yaakop Sapari; Senator Dr Ahmad Azam; Senator Lim Hui Ying dan Senator Kesavadas Achyuthan Nair.

Pada Ahad, menerusi notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah kepada Ahli Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Negara menerima makluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai 2021 yang memutuskan supaya persidangan mesyuarat khas bagi Dewan Negara ditangguhkan selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 10(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Penangguhan ini dibuat selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19 di kawasan Parlimen Malaysia. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply