Home Semasa Firma guaman boleh beroperasi sepanjang tempoh PKPD di Selangor, KL

Firma guaman boleh beroperasi sepanjang tempoh PKPD di Selangor, KL

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Jul – Kerajaan telah bersetuju membenarkan firma guaman beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur dari 3 hingga 16 Julai 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kebenaran ini diberikan setelah mengambil kira keperluan perkhidmatan guaman untuk menyokong sektor perkhidmatan perlu yang lain serta melancarkan urusan-urusan berkaitan dengan mahkamah dan jabatan kerajaan.

Beliau berkata, dengan mengambilkira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), firma guaman di kawasan PKPD perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

“Hanya 2 orang pekerja atau 20 peratus daripada jumlah bilangan pekerja, yang mana lebih tinggi, dibenarkan beroperasi dari pejabat,

“Waktu operasi firma ditetapkan antara jam 9 pagi sehingga 1 petang dan firma guaman perlu menetapkan temujanji dengan anak guam atau pelanggan sekiranya perlu berurusan secara fizikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, firman guaman boleh memohon kebenaran beroperasi melalui portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 dengan mana kebenaran beroperasi daripada CIMS yang telah diperolehi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 boleh terus digunakan.

“SOP perkhidmatan guaman sepanjang tempoh PKPD ini boleh dirujuk dari platform komunikasi Majlis Keselamatan Negara (MKN),

“Adalah diingatkan penguatkuasaan dan pemantauan rapi bagi memastikan pematuhan SOP oleh firma guaman akan dilaksanakan secara berintegrasi oleh pihak berkuasa,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply