Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 25 PATI Indonesia di cekup cuba menyelinap masuk Malaysia

25 PATI Indonesia di cekup cuba menyelinap masuk Malaysia

by Nurulhuda

PENGGERANG, 9 Jun – Cubaan 25 pendatang tanpa asing tanpa izin (PATI) Indonesia untuk memasuki negara secara haram, gagal apabila ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam 4 siri tangkapan Operasi Benteng (Op Benteng) pada 7 dan 8 Jun lalu.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua PATI yang ditahan itu terdiri daripada 16 orang lelaki dan 9 wanita berusia dalam lingkungan 21 hingga 46 tahun.

Tangkapan pertama dibuat susulan pengesanan pergerakan sekumpulan orang yang mencurigakan di persisir Pantai Sedeli Kecil oleh kumpulan ronda dan telah berjaya menahan 17 PATI hasil serbuan tim Quick Reaction Force (QRF).

“Hasil penjejakan yang dilakukan membawa kepada tangkapan 2 lagi PATI sekitar jam 8.50 malam di kawasan hutan sekitar kawasan berhampiran,

“Seterusnya pada 8 Jun, seorang lagi PATI ditahan pada jam 3 pagi,” jelas kenyataan itu.

Pada jam 5.15 pagi pula, pasukan telah menerima maklumat daripada pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan anggota Pos Pemerhati yang mengesan pergerakan sebuah bot mencurigakan menghampiri pesisir Pantai Hotel Emerald, Kampung Punggai.

“Tim QRF telah melakukan serbuan pada jam 5.45 pagi dan telah berjaya menangkap 5 PATI, namun bot yang digunakan telah berpatah balik,

“Kesemua PATI yang ditahan adalah seramai 25 orang terdiri daripada 16 lelaki dan 9 wanita berusia sekitar 21 hingga 46 tahun merupakan warga Indonesia yang dipercayai baru tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” tambahnya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 12,606.51 melibatkan wang tunai matawang Malaysia, matawang Indonesia, telefon bimbit serta barangan kemas.

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas.

Menurut pihak 3 Div, pasukannya meneruskan atur gerak Tim QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply