KOTA TINGGI, 1 Nov – Hasrat 52 orang pendatang asing (PATI) warga Indonesia yang baru mendarat untuk memasuki negara gagal, apabila berjaya diberkas oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) di persisir pantai Pasir Logok, awal pagi tadi.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI yang ditahan dalam 4 siri tangkapan itu terdiri daripada 44 lelaki dan 8 wanita berumur sekitar 19 hingga 53 tahun.
Menurutnya, penahanan tersebut adalah hasil daripada pemerhatian anggota Pos Pemerhati yang mengesan kehadiran bot menuju ke pantai berkenaan pada jam 2.30 pagi.
“Pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi melaksanakan serbuan sekitar jam 2.50 pagi dan berjaya menahan 22 PATI yang baharu mendarat,
“Sekitar jam 4.00 pagi, 26 lagi PATI ditahan di lokasi berhampiran manakala 3 lagi PATI turut ditahan pada jam 9.30 pagi dan seorang PATI pada jam 11.40 pagi,
“Kesemua mereka dipercayai baharu saja tiba dan cuba memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak sah,” jelas kenyataan itu.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 20,117.39 melibatkan matawang Malaysia RM 15,713.30, Indonesia IDR 29,668,152 (RM 8,640.39) bersama 35 buah telefon bimbit serta barang kemas.
“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas,
“Manakala, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” tambahnya.
Sementara itu, 3 Div menjelaskan, pihaknya akan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. -airtimes.my