Home PolitikBarisan Nasional Bukan sekadar tegur dan kritik kerajaan PN, UMNO berhak tarik diri – Khaled

Bukan sekadar tegur dan kritik kerajaan PN, UMNO berhak tarik diri – Khaled

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 6 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO bukan sahaja sekadar menegur dan mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN), malah berhak menarik diri jika keadaan tidak menjadi lebih baik.

Beliau berkata, setiap kali ada mana-mana pemimpin UMNO mengkritik kerajaan PN, akan ada satu respon wajib yang mesti terbit.

“Mengapa perlu kritik PN? Bukankah UMNO juga dalam kerajaan? Tak ada group whatsapp kah?

Walaupun jawapan kepada pertikaian sebegini sebenarnya sangat jelas, izinkan saya menegaskannya sekali lagi,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, mana-mana pihak suka atau tidak, hakikatnya UMNO adalah parti terbesar membentuk kerajaan PN yang mempunyai hak, tugas dan tanggungjawab moral memastikan pemimpinnya di dalam PN serta PN secara umumnya melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Bukan sekadar menegur, UMNO berhak menarik diri jika keadaan tidak menjadi lebih baik,” ujarnya.

Selain itu, pertikaian terhadap kritikan UMNO ke atas PN hanya membenarkan mentaliti ‘sekapal’, ‘satu gang’ dan ‘sama sahaja’.

“Kita tidak boleh membudayakan sikap berdiam diri atas mana- mana tindakan yang tidak bermanfaat hanya kerana yang melakukannya itu adalah dari kalangan kita. UMNO tidak boleh bersikap demikian. Kerana, seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit,” jelasnya.

Katanya, Rasulullah SAW mengajar, berkatalah benar sekali pun pahit.

“Saya melihat konteks berkata benar ini termasuklah menegur dan membetulkan mereka dari kalangan pasukan atau ahli kita sendiri. Sebab itu ia pahit. Janganlah kesalahan orang sebesar kuman di sebarang laut kita nampak,

“Salah rakan sendiri sebesar gajah di depan mata, kita boleh tersepak,” ujarnya lagi.

Seterusnya, beliau berkata fokus UMNO adalah rakyat dan negara.

“Sesiapa sahaja yang melakukan tindakan yang tidak mendatangkan manfaat terbaik kepada negara, akan terus ditegur, dikritik, malah ditentang,

“Saya dan pemimpin UMNO lain percaya bahawa tanggungjawab moral ini wujud dan mesti dilaksanakan. UMNO akan terus menegur dan tidak boleh membisu. Semua ini adalah untuk kebaikan bersama,” tegasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply