Home Semasa Total Lockdown: Peguam dibenarkan ke mahkamah wakili anak guam – Takiyuddin

Total Lockdown: Peguam dibenarkan ke mahkamah wakili anak guam – Takiyuddin

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 1 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan bersetuju memberi pengecualian kepada peguam untuk hadir ke mahkamah bagi mewakili anak guam sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Beliau berkata, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam mengambil maklum bahawa kehadiran peguam secara fizikal di mahkamah masih diperlukan bagi pertuduhan baharu, penahanan perintah reman dan permohonan jenayah pelbagai.

Sehubungan dengan itu, kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian kepada peguam-peguam yang perlu mewakili anak guam bagi urusan 2(i), 2(ii) dan 2(iii) untuk hadir ke mahkamah.

“Kebenaran untuk ke mahkamah bagi peguam-peguam yang mewakili anak guam bagi 3 kes pertuduhan yang boleh diperolehi daripada balai polis berdekatan,

“Pihak peguam dipohon untuk merujuk kepada SOP perkhidmatan guaman sepanjang tempoh PKP di platform komunikasi MKN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Takiyuddin berkata kerajaan turut bersetuju supaya firma guaman yang terlibat dengan perkhidmatan guaman korporat dan conveyancing untuk sektor perkhidmatan perlu untuk memohon kebenaran beroperasi mengikut syarikat, kilang atau perniagaan berkaitan perkhidmatan perlu yang diwakili.

Dalam hubungan ini, firma guaman yang mewakili syarikat, kilang atau perniagaan ini boleh memohon kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak mematuhi arahan kerajaan sepanjang PKP fasa pertama berkuatkuasa agar objektif melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 dapat dicapai.

Sebelum ini, pada 30 Mei lalu, kerajaan mengumumkan sektor perkhidmatan guaman tidak tersenarai di bawah kategori perkhidmatan perlu sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh Fasa Pertama dari 1 hingga 14 Jun ini.

Ia bermakna aktiviti-aktiviti perkhidmatan guaman adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply