Home Semasa Agong nasihat Kerajaan Sarawak berfungsi seperti biasa, walaupun tempoh DUN tamat

Agong nasihat Kerajaan Sarawak berfungsi seperti biasa, walaupun tempoh DUN tamat

by Air Times News Network

KUCHING, 25 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan agar Kerajaan Negeri Sarawak berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Perkara berkenaan telah dimaklumkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ia susulan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menghadap Al-Sultan Abdullah secara maya berhubung tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, hari ini.

Turut hadir, 3 Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Jemut Masing, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr Sim Kui Hian dan Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke China Dato Sri Tiong King Sing.

“Ekoran Pengisytiharan Darurat pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021 kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021,

“Sejajar dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, YAB Ketua Menteri telah menyerahkan keputusan untuk membubarkan DUN Sarawak pada tarikh yang sesuai di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud setelah menerima nasihat daripada pihak Peguam Negara, SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia,” kata kenyataan itu.

Mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak, tempoh tamat DUN Sarawak adalah sehingga 6 Jun ini, justeru harus dibubar dan pilihanraya perlu diadakan. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply