Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat bantu pindahkan mangsa banjir di Melaka

Tentera Darat bantu pindahkan mangsa banjir di Melaka

by Nurulhuda

MELAKA, 18 Mei – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui pasukan di bawah formasi Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) telah mengatur gerak anggota dan aset untuk membantu memindahkan mangsa banjir di kawasan Taman Bukit Beruang, Melaka Tengah, yang terjejas akibat banjir, semalam.

TDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, anggota Rejimen 514 Askar Wataniah (Rej 514 AW) telah diaturgerak bagi membantu penduduk di kawasan tersebut yang terjejas akibat air sungai melimpah serta air naik di kawasan rendah.

“Seramai 2 pegawai dan 20 anggota Rej 514 AW telah diaturgerak di Melaka Tengah bagi membantu menghantar mangsa banjir ke 3 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Melaka Tengah iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, SMK Bukit Rambai dan SMA JAIM Tanjung Minyak,” katanya.

Menurut TDM, pihaknya sentiasa prihatin dengan musibah yang menimpa masyarakat. Anggota TDM akan sentiasa membantu serta memberi kerjasama kepada agensi-agensi yang memerlukan dalam menghulurkan bantuan kepada penduduk setempat

Semalam, hujan lebat yang turun lebih 6 jam menyebabkan seramai 321 penduduk daripada 73 buah keluarga terjejas dan terpaksa dipindahkan ke PPS berhampiran.

Antara kawasan lain yang turut terjejas adalah Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Tanjung Minyak di Melaka tengah, Gangsa di daerah Alor gajah dan Tehel di daerah Jasin.

Beberapa jalan utama di sekitar daerah Melaka Tengah juga telah ditutup bagi mengelakkan laluan kenderaan. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply