Home Pertahanan dan Keselamatan PGA tahan 8 lelaki, rampas mercun, rokok dan arak seludup bernilai RM2 juta

PGA tahan 8 lelaki, rampas mercun, rokok dan arak seludup bernilai RM2 juta

by Bernama

SHAH ALAM, 9 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas rokok, minuman keras dan mercun yang dipercayai barang seludup bernilai lebih RM2 juta dalam enam serbuan yang dijalankan di Selangor dan Johor sejak seminggu lepas.

Komander Briged Tengah PGA Cheras SAC Muhammad Abdul Halim berkata lapan lelaki berusia antara 33 dan 64 tahun ditahan dalam serbuan yang bermula hari Ahad lepas hingga semalam.

“Dalam serbuan pertama 2 Mei lepas, kami berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan mercun bernilai RM135,998 dipercayai diseludup selepas menyerbu sebuah premis di Batu Pahat, Johor pada pukul 2.30 petang.

“Dalam serbuan kedua pula, kami berjaya merampas pelbagai jenis mercun seludup bernilai RM509,600 di sebuah premis di Sungai Tangkas, Kajang dekat sini pada hari Isnin sekitar pukul 4.00 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata serbuan ketiga yang dijalankan ke atas sebuah premis di Pasir Gudang, Johor pada hari Jumaat lepas oleh pihaknya, juga berjaya membawa kepada rampasan pelbagai jenis mercun bernilai RM115,318.

Muhammad berkata serbuan keempat sekitar pukul 11 pagi pada hari yang sama di sebuah premis di Muar, Johor membawa kepada rampasan pelbagai jenis mercun bernilai RM352,350 dipercayai diseludup, dan pada pukul 12.30 tengah hari pula rokok seludup bernilai RM913,000 dirampas selepas pihaknya menyerbu sebuah premis di Skudai, Johor.

Dalam serbuan petang semalam pula, beliau berkata pihaknya merampas pelbagai jenis minuman keras bernilai RM288,964 selepas memeriksa sebuah lori tiga tan di Taman Desa Subang, dekat sini pada pukul 4.45 petang.

Katanya kes-kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply