Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Bekas tentera mati ditembak, cuba ceroboh Kem 4 Rejimen Sempadan

Bekas tentera mati ditembak, cuba ceroboh Kem 4 Rejimen Sempadan

by Air Times News Network

GERIK, 9 Mei – Seorang bekas tentera bersenjatakan parang mati terkena tembakan selepas cuba menceroboh kem Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan (4 RS), pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis Gerik telah menerima laporan mengenai suspek berusia 35 tahun yang cuba menceroboh dengan memanjat pagar pintu hadapan kem pada jam 6.45 petang.

“Lelaki tersebut kemudiannya telah diberikan amaran oleh anggota tentera yang melakukan kawalan di pos pengawal pintu hadapan berkenaan,

“Namun lelaki berkenaan kemudiannya bertindak agresif dengan menyerang anggota tentera terbabit dengan senjata yang dibawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, semasa pengelutan tersebut, anggota tentera terbabit telah melepaskan tembakan dan mengenai suspek.

“Pihak tentera kemudiannya telah memaklumkan kejadian yang berlaku kepada pihak polis serta menghantar suspek ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan dan kemudiannya disahkan meninggal dunia,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek merupakan bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat pada 2003 dan telah ditamatkan perkhidmatan pada 2013 kerana mempunyai masalah kesihatan mental.

“Pihak polis telah ke lokasi kejadian bagi menyiasat punca sebenar dan merampas beberapa barang berkaitan dengan kes tersebut,

“Polis masih menunggu laporan bedah siasat yang akan dilakukan pada hari ini di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Kawalan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” jelasnya.

Menurutnya, pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Selain itu, beliau berharap agar tiada sebarang spekulasi oleh orang ramai hingga boleh menjejaskan siasatan berkenaan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply