Home Politik Semua menteri UMNO terus kekal dalam Kabinet – Muhyiddin

Semua menteri UMNO terus kekal dalam Kabinet – Muhyiddin

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 31 Mac – Semua menteri dari UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet selepas kesepakatan dicapai antara mereka susulan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Muhyiddin memberi jaminan, dengan kesepakatan ini Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.

“Menteri-menteri dari UMNO telah menemui saya pada hari Isnin lalu dan meminta nasihat mengenai kedudukan mereka di dalam kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),

“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Menurut Muhyiddin, pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara.

Katanya, beberapa menteri daripada UMNO memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan.

“Justeru, saya tidak mahu peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply