Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PPBM, PAS setuju kukuh kerjasama, tolak ‘penjajaran baharu’ lepas PRU-15

PPBM, PAS setuju kukuh kerjasama, tolak ‘penjajaran baharu’ lepas PRU-15

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS menegaskan akan meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Kedua-dua parti itu turut bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU-15 terutama yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama dikeluarkan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan semalam bagi merangka halatuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dalam PN.

“PPBM dan PAS selaku antara parti pengasas utama PN akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti khusus bagi menghadapi PRU15 termasuk rundingan pengagihan kerusi,

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif dalam kalangan semua parti-parti komponen,” katanya.

Kenyataan itu juga berkata, PPBM dan PAS sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut.

“Sekali gus menolak sebarang usaha merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama,

“PPBM dan PAS menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputra terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply