Home Semasa PKPD di Sibu Jaya tidak akan dilonggar selagi ada kes COVID – Dr Annuar

PKPD di Sibu Jaya tidak akan dilonggar selagi ada kes COVID – Dr Annuar

by Bernama

SIBU, 17 Feb – Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri Sarawak hari ini tidak memberi apa-apa makna bagi kira-kira 30,000 penduduk di 20 blok perumahan flat dan Taman Town Villa di Bandar Baru Sibu Jaya.

Ini kerana kawasan kediaman yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Sibu itu masih diletak di bawah PKP Diperketatkan (PKPD) sehingga 25 Feb ini dan perintah tersebut tidak akan dilonggarkan selagi masih terdapat peningkatan kes baharu positif COVID-19 di situ.

Perkara itu ditegaskan Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapaee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka dan turut mewakili kawasan tersebut yang telah diletak di bawah PKPD sejak 11 Feb lepas.

“Saya tidak dapat memberi jaminan bahawa kawalan ketat di Sibu Jaya (kawasan 20 blok rumah flat dan Taman Town Villa) hanya untuk tempoh 14 hari sahaja, selagi ada kes positif selagi itulah kita tidak akan longgarkan,” menurutnya.

Katanya walaupun jumlah kes baharu COVID-19 yang dicatat di Sibu Jaya hari ini menurun kepada 39 berbanding 97 kes semalam, penurunan itu adalah tidak memuaskan.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) itu juga berkata seramai 3,000 lagi penduduk Sibu Jaya akan menjalani ujian calitan esok dan lusa selepas 1,000 orang menjalaninya hari ini.

“Saya minta penduduk di rumah flat dan Taman Town Villa, Sibu Jaya jangan keluar dari rumah, jangan merayau-rayau di kawasan flat kerana ini boleh menyebabkan jangkitan tidak akan berhenti,” katanya.

Beliau turut menepis dakwaan bahawa ada penduduk di kawasan itu yang dikuarantin di rumah selepas didapati positif COVID-19 kerana individu yang disahkan dijangkiti virus tersebut telah dihantar sama ada ke Hospital Sibu atau Pusat Kawalan dan Rawatan COVID (PKRC). – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply