Home Pertahanan dan Keselamatan Jangan ugut dan ganggu PDRM laksana tugas – Veteran Polis

Jangan ugut dan ganggu PDRM laksana tugas – Veteran Polis

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Veteran polis dan Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Halim Ishak menegaskan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Cheng mempersoalkan rasional anggota keselamatan membawa senjata api semasa laksana rondaan pematuhan adalah satu tindakan kurang bijak dan berbaur politik.

Menurut Halim yang juga merupakan Veteran 69 Komando, PDRM mempunyai prosedur operasi standardnya yang tersendiri dalam melaksanakan operasi rondaan dan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka melaksanakan pemantauan jaga aman di Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 seperti mana yang telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,

“Pasukan pemantauan bukannya berada di tokong tersebut sepanjang masa tetapi hanya singgah untuk melaksanakan pemantauan sahaja,” katanya kepada Air Times.

Beliau menambah, isu yang dimainkan oleh Chin Cheng adalah sengaja diadakan dan bersifat politik.

Menurutnya lagi, tiada sebarang isu dibangkitkan semasa polis dan tentera berkawal di kuil sambil membawa senjata api semasa perayaan Thaipusam.

“Oleh itu, kenyataan oleh ADUN Bilut mengenai anggota keselamatan bawa senjata api semasa meronda adalah satu perkara yang kurang bijak dan dipenuhi sentimen politik,

“Tindakan ini secara langsung mencabar maruah veteran polis dan tentera akibat tohmahan yang dilemparkan oleh Chin Cheng,

“Tambahan pula, ADUN telah mengangkat sumpah untuk mewakili rakyat dan berperanan dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Pada masa yang sama, Halim menyatakan banyak tohmahan dan kecaman dilemparkan terhadap anggota polis oleh pihak tertentu semenjak perlaksanaan PKP pada Mac 2020.

Ujar beliau, tindakan tersebut mencerminkan pendirian pihak terbabit yang tidak mempunyai jati diri dan semangat nasionalisma.

“MCCF turut memberikan teguran keras kepada mana-mana pihak yang ingin memburukkan nama baik PDRM selaku institusi tertua dan mencabar pihak polis,

“Mereka menjalankan tugas demi keamanan dan keselamatan rakyat dan negara,” tegas Halim.

Beliau menambah, rakyat boleh melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku salah laku oleh anggota yang bertugas.

Semalam, media melaporkan tindakan Chin Cheng yang mempersoalkan rasional anggota polis dan tentera untuk membawa senjata semasa melaksanakan rondaan pematuhan di tokong.

Dalam satu kenyataan, ADUN Bilut itu menyifatkan tindakan sedemikian adalah melampaui batas dan menggambarkan seolah-olah negara sedang diperintah oleh diktaktor.

Selain itu, beliau turut mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador untuk memohon maaf atas kepada masyarakat.

“Ketua Polis Negara tidak perlu untuk meminta maaf malah melayan desakan ADUN Bilut,

“Sebaliknya, tindakan yang lebih berani perlu dilakukan dalam menghapuskan kegiatan penjenayah bersenjata api yang dilindungi oleh sindiket-sindiket tertentu,

“Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Polis Johor di bawah pimpinan Dato Ayub Khan yang telah berjaya menembak mati 4 penjenayah bersenjatapi kelmarin,” kata Halim

Pada masa yang sama, beliau menyarankan pemimpin politik, ketua masyarakat dan ketua NGO untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bileh gugat keamanan serta keharmonian masyarakat di Malaysia. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply