Home Semasa COVID-19: 18 kematian, Selangor terus catat kes harian tertinggi

COVID-19: 18 kematian, Selangor terus catat kes harian tertinggi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 4,284 kes baharu COVID-19 dikesan dalam masa 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan penularan dalam negara adalah 226,912 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula 48,309 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 4,278 kes penularan tempatan dan 6 kes import.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham mengesahkan, terdapat 3,804 kes sembuh sepenuhnya dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini sebanyak 177,794 kes.

Sehingga hari ini, sebanyak 307 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 141 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala, negeri Selangor masih merekodkan pertambahan kes harian tertinggi sebanyak 1,572 kes dan menjadikan jumlah keseluruhan di negeri itu adalah 72,013 kes.

Ini diikuti oleh negeri Johor sebanyak 964 dan Kuala Lumpur sebanyak 651 kes.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 13 kluster baharu COVID-19 dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan 12 kluster berkaitan tempat kerja dan satu kluster pusat tahanan.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Muda sebanyak 534 kes, Kluster Jalan Yahya (276 kes), dan Kluster Kebun Baru (63 kes),” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 18 lagi kematian direkodkan hari ini, dengan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 meningkat kepada 809 kes. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply