Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 telah dimasyhur dan digazetkan dalam Warta Persekutuan 2 hari selepas Proklamasi Darurat diisytiharkan.
Format isi kandungan dokumen ini adalah sama dengan Undang-undang yang telah dibentangkan di Parlimen.
Sebagai contoh, ianya mempunyai klausa yang menyentuh tajuk ringkas, permulaan kuat kuasa ordinan, had kuasa dan peraturan yang perlu dilaksanakan sepanjang Darurat berkuatkuasa.
Dalam ucapan Proklamasi Darurat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan bayangan bahawa akan ada ordinan tambahan sekiranya keadaan memerlukan.
“Sepanjang tempoh darurat ini, jika Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa,” kata Perdana Menteri pada 12 Januari lalu.
Dalam wawancara eksklusif kami bersama Pakar Perlembagaan dan Peguam, Buzze Azam, beliau menjelaskan bahawa Ordinan Darurat adalah sesuatu perkara yang unik dalam negara.
Menurut beliau, Ordinan ini berkuatkuasa seumpama Rang Undang-Undang yang dibahaskan di Parlimen dan Dewan Negara.
“Pemahsyuran ordinan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah selaras dengan Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan,” jelas Buzze Azam.
Beliau menambah, Ordinan tambahan tidak perlu melalui proses pengubalan undang-undang seperti biasa.
Petikan Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan:
“Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.”
Proses pengubalan rang undang-undang
Menurut portal Parlimen, sebelum satu rang undang-undang diluluskan ianya perlu melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Di Parlimen, satu rang undang-undang perlu melalui 4 proses iaitu:
1. Bacaan kali pertama
Bacaan tajuk panjang rang undang-undang
2. Bacaan kali kedua
Pada peringkat ini, prinsip-prinsip am Rang Undang-Undang akan dibahaskan. Undian dilaksanakan untuk kali pertama pada peringkat ini.
3. Perbahasan Peringkat Jawatankuasa
Pada peringkat ini, perbahasan dilakukan secara spesifik merangkumi semua fasal, jadual dan pendahuluan rang undang-undang.
Selain itu, sebarang pindaan akan dibincangkan oleh ahli majlis dewan/
4. Bacaan kali ketiga
Pada peringkat ini, undian akan dijalankan untuk kali kedua. Tajuk panjang akan dibaca dan diluluskan oleh Dewan.
Setelah melalui kesemua proses tersebut, rang undang-undang terbabit akan dibawa ke Dewan Negara untuk proses yang sama. Apabila ia diluluskan, rang undang-undang tersebut akan dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.
Menurut Buzze Azam, proses sebegini sudah tentu memakan masa yang lama.
“Kita dapat melihat sendiri bagaimana Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dibahaskan di Parlimen
“Ia memerlukan masa yang lama sebelum ianya diluluskan,” ujarnya.
Ordinan Darurat
Buzze Azam menjelaskan, Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas dasar keperluan untuk menyelesaikan isu COVID-19 dengan kadar segera.
“Untuk Ordinan Darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan sesuatu ordinan itu dan berkuatkuasa serta-merta,
“Baginda bertitah atas dasar keperluan segera dan mendesak bagi mengatasi serta menguruskan keadaan konflik yang berlaku pada masa itu,
“Ordinan yang dikeluarkan pada ketika itu sama seperti akta yang telah digubal di Parlimen,” ujarnya.
Beliau menambah, terdapat kemungkinan Ordinan Darurat tambahan akan dimasyhurkan jika keadaan memerlukan. – airtimes.my
Ikuti siri keempat wawancara eksklusif bersama Buzze Azam pada hari Sabtu ini di portal Air Times News Network.