Home Semasa Darurat 2021: Ibu segala ubat rawati pelbagai penyakit dalam negara – Buzze Azam

Darurat 2021: Ibu segala ubat rawati pelbagai penyakit dalam negara – Buzze Azam

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=60PEbNzX6IY[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Peguam dan pakar perlembagaan, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menegaskan perlaksanaan Ordinan Darurat 2021 merupakan masa yang terbaik kepada Malaysia untuk memperbaiki beberapa isu.

Menurut beliau, penularan wabak COVID-19 mempunyai hikmahnya yang tersendiri walaupun ianya satu realiti yang sukar untuk dihadapi oleh semua pihak.

“Semasa COVID-19 berlaku, negara turut menghadapi pelbagai isu termasuk politik, ekonomi dan sosial,” katanya semasa wawancara eksklusif bersama Air Times.

Khairul Azam atau lebih dikenali Buzze Azam berkata, pihak yang berkepentingan dalam negara perlu melihat realiti perbandingan kehadiran pelabur asing di Malaysia dan negara jiran.

Menurut beliau, perbalahan politik yang berlarutan telah menyebabkan usaha untuk memulihkan ekonomi negara terutamanya semasa krisis pandemik COVID-19 terbantut.

“Semua negara dilanda COVID-19 tetapi mengapa pelaburan melimpah ke negara-negara lain (selain Malaysia)?

“Ahli politik di negara kita pula bertelagah sesama sendiri.  Fokus mereka pula dah beralih dari memulihkan ekonomi kepada menyelamatkan posisi sendiri,” ujarnya.

Buzze Azam menambah, darurat yang dilaksanakan perlu dilihat sebagai peluang keemasan untuk memperbaiki isu-isu yang kian berlarutan dalam negara.

“Selain merawat isu COVID-19, kita perlu mengubati isu-isu lain terutamanya politik, ekonomi dan sosial,

“Pada masa yang sama, kita perlu menjajarkan semula Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang dihormati,” katanya.

Beliau menegaskan, kegagalan untuk menangani isu yang kian berlarutan semasa darurat dikuatkuasakan merupakan satu kerugian besar kepada negara.

“Rakyat seharusnya jangan cepat bimbang, prejudis dan ragu-ragu dengan darurat yang dilaksanakan,

“Darurat ini adalah ubat kepada ‘penyakit’ yang kita hadapi selain COVID-19,” kata Buzze Azam.

Menurutnya, pelaksanaan Darurat pada tahun 1969 yang berpunca dari krisis perkauman telah membawa beberapa pembaharuan positif kepada negara.

“Kesan selepas Darurat 1969 adalah negara semakin berada dalam keadaan yang lebih baik dari sebelumnya,

“Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru misalnya diperkenalkan selepas itu bagi memperbaiki kelemahan yang dikenalpasti,

“Selain itu keadaan politik berubah apabila parti politik yang bertelagah mengambil langkah untuk berdamai” jelas beliau. – airtimes.my

Ikuti siri pertama rencana wawancara khas isu darurat bersama Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (Buzze Azam) di Air Times News Network mulai Ahad ini.

Related Articles

Leave a Reply