KUALA LUMPUR, 21 Jan – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan sebanyak 3,170 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 172,549 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, Kuala Lumpur hari ini mencatatkan pertambahan kes tertinggi dengan 576 kes baharu.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 310 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 545 kes, dan Johor sebanyak 423 kes,
“Sebanyak 26 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (10 kes), Kluster Damai Pelangi (8 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (5 kes), Kluster Tembok Mempaga (2 kes), dan Penjara Sungai Jelok (1 kes),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menjelaskan, 12 kes kematian dilaporkan pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 642 kes.
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 4 kes dari Johor, 3 kes dari Selangor, 2 kes dari Sabah dan masing-masing 1 kes dari Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak. Kesemua kes adalah warganegara,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham mengesahkan, terdapat 2,490 kes pulih sepenuhnya dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini sebanyak 130,152 kes.
Sehingga hari ini, sebanyak 260 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 103 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Manakala, beliau turut mengesahkan sebanyak 16 kluster baharu COVID-19 dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan 11 kluster berkaitan tempat kerja, 2 kluster komuniti, 2 kluster libatkan kumpulan berisiko, dan 1 kluster berkaitan keagamaan. –airtimes.my
